Wednesday 4 April 2012

hadith



IBARAT PERANTAU

Daripada Ibn Umar r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalanan. "
( riwayat al-Bukhari )
pengajaran : pengembaraan terakhir bagi kehidupan di dunia ini ialah kubur. Apabila tiba masanya , berakhirlah amalan yang dijadikan sebagai bekalan.




UJIAN PENGHAPUS DOSA


Daripada Abu Said al-Khudri r.a. dan Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya. "
( riwayat al-Bukhari & Muslim )
pengajaran : ditimpa kesakitan atau penyakit itu adalah ujian keimanan dan penghapus dosa.




RINGKAS DAN PADAT


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Aku diutuskan dengan perkataan-perkataan yang ringkas dan padat. "
( riwayat al-Bukhari & Muslim )
pengajaran : kita juga dianjurkan untuk bercakap mengenai perkara-perkara yang penting dan bermanfaat sahaja. Berkata-kata dengan perkataan yang tidak bermakna akan mendatangkan sia-sia.




KEBAIKAN DAN DOSA


Daripada al-Nawwas bin Sam'an r.a., :
 Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang kebaikan dan dosa, lalu Baginda menjawab :" Kebaikan adalah akhlak yang baik, manakala dosa ialah apa yang berbolak-balik di dalam dada engkau dan engkau tidak gemar manusia mengetahuinya. "
( riwayat Muslim )
pengajaran : berusahalah untuk sentiasa membuat kebaikan walau di mana jua anda berada.




MEMILIH SAHABAT


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat. "
( riwayat al-Tirmizi & al-Hakim )
pengajaran : kita perlu cerewet dalam memilih sahabat kerana bertemu dengan sahabat yang baik adalah satu ketenangan dalam jiwa.



KEBERKATAN MEMBERI SALAM

 

Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Wahai anakku ! Apabila kamu masuk ke dalam rumah berilah salam. Kamu dan ahli rumah akan mendapat keberkatan. "
( riwayat al-Tirmizi )
pengajaran : ucapan salam adalah satu doa untuk kesejahteraan sesama Muslim. Silaturahim sesama kita juga akan bertambah kukuh.




JENIS SIKAP KASAR


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Mencarut adalah sejenis sikap kasar. Manakala sikap kasar balasannya ialah neraka. "
( riwayat al-Bukhari & Muslim )
pengajaran : kita wajib menjaga mulut daripada mengeluarkan perkataan yang tidak baik. Untuk mengelakkannya, bersahabatlah dengan orang yang baik-baik.




MEMOHONLAH SESUDAH SOLAT


Daripada Muaz bin Jabal r.a., beliau berkata :
 " Rasulullah mengambil (memegang) tanganku pada suatu hari lalu berkata : ' Wahai Muaz ! Demi Allah, sesungguhnya aku mengasihi engkau. ' Muaz berkata : 'Aku sanggup menebus diri engkau dengan ayah dan ibuku wahai Rasulullah ; dan demi Allah, aku juga mengasihi engkau. ' Maka Rasulullah berkata : ' Aku berwasiat kepada kamu janganlah kamu meninggalkan pada setiap kali selesai solat untuk mengatakan : ' Ya Allah ! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu."
( riwayat Abu Daud & al-Nasa'i )
pengajaran : mohonlah kepada Allah SWT selepas solat kerana Dia Yang Maha Berkuasa. 




LARANGAN MENAKUT-NAKUTKAN


Daripada sebahagian sahabat r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud : 
" Tidak halal bagi seorang Muslim menakut-nakutkan seorang Muslim yang lain . "
( riwayat Abu Daud & Ahmad )
pengajaran : dalam mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita, perlulah ada sikap saling mengasihani, saling membantu, saling menyokong dan sifat yang diberkati Allah Taala.




TIPU DAYA DUNIA


Daripada Qatadah bin Nu'man r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Apabila Allah mengasihi seorang hamba, Allah mengawasinya dari dunia ( daripada tipu daya dan syahwat dunia ) sepertimana seseorang daripada kamu berterusan mengawasi sakitnya daripada terkena air ( jika sakit itu merbahaya sekiranya terkena air ). "
( riwayat al-Tirmizi & al-Hakim )
pengajaran : segala kepayahan yang kita hadapi mempunyai hikmah di sebaliknya. Terimalah kesusahan dengan hati yang terbuka dan jangan mengeluh.




PEWARIS PARA NABI


Daripada Abu Darda' r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Nabi-nabi pula tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka mewariskan ilmu. Siapa yang mengambilnya ia telah mendapat bahagian yang banyak dan sempurna. "
( riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dan Ibn Hibban )
pengajaran : selagi nyawa dikandung badan, ambillah peluang untuk menambah ilmu yang diwariskan oleh para Nabi.




KESAN DARIPADA WUDUK


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya umatku datang pada hari kiamat dalam keadaan bersinar-sinar daripada kesan wuduk. Sesiapa yang berupaya untuk melebihkan basuhan wuduknya, maka lakukanlah. "
( riwayat al-Bukhari & Muslim )
pengajaran : jagalah wuduk sepertimana kita menjaga aurat kita daripada pandangan orang lain.




SAMPAIKANLAH WALAUPUN SEDIKIT


Daripada Abdullah bin 'Amr r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat dan ceritakanlah mengenai Bani Israel. Tiada sebarang kesempitan dan dosa. "
( riwayat al-Bukhari )
pengajaran : nasihat dan bawalah pedoman yang baik supaya dapat dibezakan di antara yang baik dan tidak.




ORANG YANG TERBAIK


Daripada Uthman bin Affan r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya. "
( riwayat al-Bukhari )
pengajaran : pendidikan yang paling utama dalam kehidupan Muslim ialah pendidikan al-Quran kerana isi al-Quran meliputi segala panduan kehidupan di dunia.




BERKORBAN MEMEGANG AMANAH



Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Tunaikanlah amanah kepada orang memberi amanah kepada engkau dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati engkau. "
( riwayat Abu Daud & al-Tirmizi )
pengajaran : jika kita diberi sesuatu amanah, maka wajiblah kita menjaga dan berkorban untuknya.




UBAT KEPADA KESALAHAN

 

Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Penyesalan adalah taubat. "
( riwayat Ibn Majah )
pengajaran : jika telah bertaubat, maka hendaklah menyesali perbuatan lampau itu dengan sebenar-benarnya dan wajib untuk tidak melakukan kesalahan yang sama di samping kesalahan yang lainnya.




SYAFAAT NABI SAW


Daripada Anas r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Aku boleh memberikan syafaat kepada umatku yang melakukan dosa besar. "
( riwayat Abu Daud & al-Tirmizi )
pengajaran : syafaat Nabi SAW kepada orang yang melakukan dosa besar ialah menyelamatkan mereka daripada kebinasaan.




KEDUDUKAN PALING BURUK



Daripada Aisyah r.ah., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah ialah orang yang ditinggalkan oleh manusia kerana khuatir dengan kejahatan dirinya. "
( riwayat al-Bukhari & Muslim )
pengajaran : dalam pergaulan sesama insan, perkara paling utama kita perlu jaga ialah percakapan dan perlakuan supaya tiada kebencian daripada orang lain.




PENGHULU KIAMAT


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Akulah penghulu manusia pada hari kiamat. "
( riwayat al-Bukhari & Muslim )
pengajaran : jika ada manusia mahupun makhluk lain yang mendakwa dirinya berpengaruh di dunia dan di akhirat, maka sesungguhnya itu adalah dusta semata-mata. Kerana itu kita dinasihatkan supaya mengetahui hak terhadap Baginda SAW.




MEMELIHARA WUDUK


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Sekiranya aku tidak menyusahkan umatku, aku akan perintahkan umatku berwuduk pada setiap kali solat dan bersiwak pada setiap kali wuduk. "
( riwayat Ahmad )
pengajaran : memelihara wuduk beerti kita sentiasa berada dalam keadaan suci.




BURUKNYA TAKABBUR


Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Tidak masuk ke syurga orang yang terdapat di hatinya walau sebesar zarah perasaan takabbur. "
( riwayat Muslim )
pengajaran : jauhi penyakit hati yang besar; ujub, takabbur dan riyak kerana ia bukan sikap seseorang Muslim sejati.




BERKASIH-KASIHAN


Daripada Abdullah bin Amr r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud : 
" Orang yang bersifat kasihan, dikasihi oleh Yang Maha Mengasihani. Kasihanilah mereka di bumi, nescaya yang di langit akan mengasihani kamu. "
( riwayat Abu Daud & al-Tirmizi )
pengajaran : berbudi bahasa dan berhemah adalah amalan mulia. Hindarkan daripada orang lain mendedami kita.




MAHUKAN KEBAIKAN


Daripada Mu'awiyah bin Abu Sufyan r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya. "
( riwayat al-Bukhari & Muslim )
pengajaran : tiada kebaikan kepada orang yang tidak memahami dan mempelajari kaedah-kaedah dan perkara cabang dalam agama Islam.




TERHALANG DARIPADA REZEKI


Daripada Thauban r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya seseorang insan terhalang daripada mendapat rezeki lantaran dosa yang dilakukannya. "
( riwayat Ibn Majah )
pengajaran : jauhi daripada melakukan perkara yang dilarang jika ingin dimurahkan rezeki yang berpanjangan.




KAUM MENIRU KAUM


Daripada Abdullah bin Umar r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Sesiapa yang meniru suatu kaum yang lain maka dia adalah daripada kaum itu. "
( riwayat Abu Daud & Ahmad )
pengajaran : sunah Rasulullah adalah yang terbaik untuk 'ditiru'. Jadikanlah Rasulullah SAW dan para ulama sebagai contoh dalam kehidupan.




MENJAGA AMANAH


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Orang yang bermesyuarat adalah amanah. "
( riwayat Abu Daud & al-Tirmizi )
pengajaran : peserta yang menghadiri sesuatu mesyuarat itu memegang tangunggjawab dan amanah, sebelum, semasa dan selepas perbincangan. Sebelum; amanah untuk menghadiri. Semasa; amanah untuk menyampaikan. Selepas; amanah untuk melakukan.




TIDAK SEMPURNA IMAN


Daripada Anas r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri. "
( riwayat al-Bukhari & Muslim )
pengajaran : persahabatan yang kukuh melambangkan ikatan yang kukuh dalam tali persaudaraan.




HILANG PERASAAN


Daripada Abu Mas'ud al-Badri r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

" Sebahagian daripada apa yang manusia ketahui tentang bicara nabi terdahulu : ' Apabila engkau tidak merasai malu lakukanlah apa sahaja yang kamu mahukan.' "
( riwayat al-Bukhari )
pengajaran : malu biar bertempat. Tetapi jika hilang perasaan malu, maka akan hilanglah iman.








0 comments:

Post a Comment

Assalamualaikum
eh!awak!awak!...ala,yang cute-cute tu.....
yang hensem-hensem tu....
mai la tinggalkn comment kat sini...
confirm bertambah-tambah cute tu....